
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 12 Oktober depan untuk pengurusan kes bagi saman yang dikemukakan bapa Nasha Aziz terhadap model dan pelakon itu.
Hakim Datuk Tee Ah Sing menetapkan tarikh itu dalam kamarnya selepas mendengar sebutan kes berkenaan.
Abdul Aziz Mohd Ali, 58, mengemukakan saman terhadap Nasha atau nama sebenarnya Noraishah Abdul Aziz, berhubung satu artikel berita yang menyatakan dia bukan bapa kandung Nasha.
Dalam samannya, Abdul Aziz menamakan Nasha sebagai defendan pertama, Utusan Melayu (M) Berhad, pencetak dan pemilik akhbar sebagai defendan kedua dan wartawan Tengku Khalidah Tengku Bidin, defendan ketiga.
Abdul Aziz, seorang guru silat dalam pernyataan tuntutannya mendakwa artikel dalam Mingguan Malaysia itu bermaksud atau difahamkan bahawa dia sudah meninggal dunia.
Abdul Aziz berkata, dia bapa kandung Nasha dan mendakwa perkataan fitnah dalam artikel itu bertajuk “Jangan tanya hal peribadi” yang disiarkan Mingguan Malaysia pada 24 November 2004, menyebabkan dirinya menderita dan mendapat malu serta menjejaskan reputasinya.
Dia memohon ganti rugi am dan ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Nasha dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Jun tahun lalu menjelaskan perkataan ayah dalam wawancaranya dengan akhbar Mingguan Malaysia merujuk kepada bapa saudaranya yang menjaga dan memberi kasih sayang kepadanya sejak kecil hingga dewasa.
Nasha tidak menafikan Abdul Aziz (plaintif) bapa kandungnya tetapi bapa saudaranya yang sudah meninggal dunia adalah satu-satunya insan yang dipanggil ayah.
Menurutnya, tidak keterlaluan dia merujuk bapa saudaranya sebagai satu-satunya ayahnya.
Defendan kedua dan ketiga dalam pernyataan pembelaan mereka menafikan artikel berkenaan bersifat fitnah dalam apa jua cara sekali pun.
Mereka juga mendakwa artikel atau petikan itu adalah satu laporan tepat dan saksama dibuat Nasha kepada defendan ketiga.
Januari 14, 2009 at 12:57 pm
bersabar jelah nasha coz ini semua adalah asam garam dalam kehidupan cuma kes u ni pelik sikit…apa2 pun sy tak salahkan u