Mawi ke Mauritius

SEKALIPUN Akademi Fantasia 4 (AF4) baru melabuhkan tirainya, namun populariti

Asmawi Ani atau Mawi selaku juara AF3 masih tidak tergugat. Malah rezekinya kian melimpah ruah.

Sebelum ini, Mawi pernah merancang untuk bercuti ke Syria bersama peminatnya, namun terpaksa dibatalkan di saat akhir kerana keadaan bapanya, Ani Ahmad yang tenat ketika itu.

Pantas masa berlalu, kini Mawi bakal bercuti bersama peminatnya di Mauritius pada 29 November hingga 4 Disember ini.

Percutian yang diberi nama Priceless, Up Close And Personal Experience With Mawi In Mauritius ini dianjurkan bersama Hotlink, Mejustif Events & Travel dan Air Mauritius.

Menurut Mawi, percutian ini adalah kali kedua selepas percutian di Brunei Mac lalu bersama peminat sempena kemenangannya di Anugerah Bintang Popular Berita Harian.

“Bagi saya percutian ini satu pengalaman baru dalam hidup saya. Apa yang saya tahu, Mauritius destinasi percutian menarik dan mempunyai pantai yang memukau.

“Saya akan mengambil kesempatan ini untuk melancarkan album terbaru secara duet yang masih dalam pembikinan. Peminat yang menyertai percutian ini akan menjadi orang pertama mendengar album terbaru saya,” katanya ditemui di Hotel Istana, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Hadir sama Pengurus Besar Mejustif Events & Travel, Eddie Chow; Pengurus Regional Air Maritius, Shiri Prakash Rai dan Pengurus Besar Hotlink, Chee Loo Fun.

Chee berkata, pakej ini pertama kali dianjurkan di mana pelanggan Hotlink berpeluang bercuti bersama Mawi di pulau Mauritius yang terkenal dengan keindahannya.

“Kolaborasi bersama Mujestif Events & Travel dan Air Mauritius ibarat mimpi menjadi kenyataan kepada peminat Mawi yang juga pelanggan Hotlink dan tidak ternilai harganya.

“Ia langkah permulaan kami memberikan ganjaran dan pengalaman kepada pelanggan setia Hotlink.

“Wang tidak boleh membeli semuanya, apa lagi pengalaman yang tidak ternilai dengan wang ringgit. Kami berharap pelanggan Hotlink mengambil peluang sekali seumur hidup ini untuk bercuti bersama Mawi utnuk seminggu di Mauritius,” katanya.

Shiri pula berkata, pakej ini bertujuan untuk mendekatkan peminat dengan Mawi dalam suasana yang lebih santai dan eksklusif. Secara tidak langsung ia memberi pengalaman baru buat mereka yang tidak dapat dialami orang lain.

Pakej ini ditawarkan kepada pelanggan Hotlink dengan tawaran istimewa iaitu RM2,698 (dengan 30 peratus diskaun). Ia merangkumi harga tiket, tempat penginapan, ‘airport transfer’ serta lawatan ke tempat peranginan. Pelanggan Hotlink hanya perlu mengumpul 200 mata ganjaran Hotlink untuk menikmati tawaran ini.

Percutian ini hanya terhad kepada 100 orang sahaja di mana mereka akan menginap di Berjaya Le Morne Beach Resort Hotel & Casino.

Selain pelancaran album baru Mawi, aktiviti lain yang disediakan ialah sukaneka, membeli-belah dan lawatan ke beberapa tempat menarik di Mauritius.

Antara destinasi yang bakal dikunjungi ialah Quatre Bornes, Curepipe/Black River Gorges, Chamarel, Pamplemousses Garden, Port Louis, Cauden Weterfront dan banyak lagi.

Sementara itu Mawi berkata, dia kini dalam pembikinan untuk muncul dengan album duet terbaru yang menampilkan kombinasi lagu lama dan baru.

“Album ini adalah idea bersama saya dan syarikat rakaman, namun pemilihan artis pula dibuat saya sendiri. Antara artis terbabit ialah M Nasir, Jamal Abdillah, Siti Nurhaliza, Jay Jay, Ogy Ahmad Daud, Ramli Sarip dan Yasin.

“Selain itu, saya kini sibuk mengikuti kelas vokal dengan Adnan Abu Hassan dan kelas tarian di studio Linda Jasmine. Malahan saya juga dalam perancangan mengikuti kelas komunikasi, bahasa Inggeris, protokol dan mengikuti latihan di gimnasium.

“Namun ia acapkali tergendala disebabkan kesibukan dan jadual yang terlalu padat,” katanya yang mula mengikuti kelas ini bermula sebulan lalu.

Dalam pada itu, Mawi juga menggalas beberapa projek besar seperti konsert Merdeka di KLCC, program Marhaban bersama Astro dan persembahan berkala yang lain.

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Dikirim dalam Mawi. 3 Komen »

3 Respons bagi “Mawi ke Mauritius”

  1. jue_comey Says:

    assalamualaikum….mawi, d cni jue nak ucap hepi birthday kat mawi…..i’m very proud of ur achievement as well, so congrats to u…hepi besday abg mawi….:>

  2. iksan Says:

    mawi saya bukan peminat awak tapi sebagai orang yg sukakan hiburan tanah air sy rasa awak perlu pertingkatkan bakat seni awak dan cuba lah memenangi anugerah yang berdasarkan keputusan juri seperti AIM….awk mungkin berbangga kerana menjadi artis paling popular tapi dari segi ‘bakat’ awak tak cukup kuat….

  3. norzihan bt manan Says:

    saya memang peminat mawi.saya ikuti perkembangan dari AF lagi..saya harap mawi terus kan perjuangan tetapi jangan lupa asal..saya memang berhasrat berjumpa mawi tetapi tak mungkin dapat rasanya. Apa2 pun semuga success.wassalam


Tinggalkan jawapan